9.22.2010

PERHIMPUNAN GAYONG PERDANA 2010





Warisan silat Gayong

Oleh ISMA ISMAIL

2010/09/25

MUNGKIN tanpa seorang insan berjiwa kental iaitu Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Uda Mohd Hashim yang sanggup bersusah payah tentunya Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) tidak mungkin dapat bertapak sekali gus berkembang seperti mana keadaan pertubuhan itu ketika ini.

Silat seni gayong adalah pertubuhan silat paling popular dan menjadi pemangkin kepada silat lain, selain memiliki cawangan PSSGM di seluruh negara, silat seni gayong juga diambil sebagai kurikulum di hampir semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Meor Abdul Rahman mewarisi ilmu silat seni gayong daripada datuknya, Syed Zainal Al-Attas ketika usianya baru menjangkau 12 tahun. Segala ilmu dan petua silat seni gayong diperturunkan satu persatu oleh datuknya itu yang sudah berusia lebih 100 tahun.

Beliau mempelajari silat seni gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung Pokok Assam di Taiping, Perak hingga menjadikannya sebati dalam ilmu persilatan berkenaan.

Apabila menjangkau kepada usia dewasa, Meor Abdul Rahman mula mengembangkan ilmu persilatan berkenaan ke luar Perak iaitu apabila beliau berhijrah ke Pulau Sudong, Singapura.

Sewaktu pemerintahan Jepun di Singapura pada 1943, Meor dikatakan pernah menewaskan sekumpulan tentera Jepun yang lengkap bersenjatakan pedang. Apabila Jepun tewas pada 1945, Meor mengembangkan silat seni gayong di Singapura sebelum kembali ke Taiping dan mengembangkannya pula di Kedah.
Selepas kematian Meor di Ipoh pada 23 Jun 1991 ketika berusia 76 tahun, silat berkenaan terus berkembang dan diterajui waris mutlak silat seni gayong iaitu anak perempuannya, Siti Kalsom dan kini dipimpin pula oleh Yang Dipertua PSSGM, Datuk Adiwijaya Abdullah, yang dilantik sejak November tahun lalu.

Asalnya, ilmu persilatan berkenaan dibawa ke Tanah Melayu (Malaysia) oleh Daeng Kuning bersama-sama dengan enam saudaranya kemudiannya bermastautin dengan segala ilmu persilatan diturunkan kepada keturunannya.

Ia semakin berkembang apabila Meor Abdul Rahman yang bertindak sebagai Mahaguru mengambil tujuh pemuda di Pulau Sudong iaitu Naning Mat, Ahmad Arshad Hassan, Sabtu Likur, Yusof Rantau, Osman Timpong, Mustapha Bengkok dan Bendol Benggol diperlimau sebagai murid Gayong pada sekitar 1942.

Bermula dengan hanya seramai tujuh murid, Silat Seni Gayong terus berkembang sehingga ke pulau berhampiran seperti Pulau Seking, Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau Sekijang, Pulau Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau Damar.
Silat Seni Gayong mula berkembang di pulau besar Singapura pada akhir 1949 apabila tujuh murid pertama yang menjalani upacara Perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor Fadal, Ustaz Mansor, Sinwan, Joned Hanim, Hosni Ahmad dan Salim.

Sinwan, Joned dan Salim ketika itu adalah anggota Jabatan Siasatan Jenayah Singapura yang terawal menjadi muridnya dengan menjadikan kawasan di Bakar Sampah di pulau besar Singapura sebagai pusat latihan Silat Seni Gayong dalam 1950.

Pada 1954, kumpulan wanita pertama seramai tujuh orang pula menyertai Seni Silat Gayong di Singapura antaranya adalah Che Kalsom Kechik, Paridah Yusope dan Rafeah Fadal.

Pada pertengahan 1950–an, ramai bintang filem Melayu mempelajari ilmu persilatan berkenaan antaranya ialah Jasni Ahmad, Neng Yatimah, Kasma Booty, P. Ramlee dan A. Rahim.

Kemuncaknya adalah pada 1956, Datuk Onn Jaafar sendiri iaitu seorang tokoh politik dan pemimpin Melayu yang disegani turut menjadi murid ilmu persilatan berkenaan hingga kemudiannya beliau dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong.

Pada awal 1957, satu rombongan Silat Seni Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri oleh Meor Abdul Rahman mengadakan persembahan di Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah atas undangan Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim Ibni Sultan Badlishah.

Pertunjukan berkenaan disaksi oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Badlishah Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Syah dalam cubaan pertama untuk mengembangkan sayap ilmu persilatan itu di Kedah.

Pada awal 1959, Meor Abdul Rahman mendaftarkan Sekolah Gayong Woodlands sebagai sebuah institusi yang mengeluarkan sijil dan diploma kepada peserta yang lulus kursus yang dianjurkan.

Tidak beberapa lama kemudian, Onn mengusulkan kepada Meor Abdul Rahman agar mendaftarkan Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan. Syor Onn itu dipersetujui Meor Abdul Rahman.

Bagaimanapun, permohonan untuk mendaftarkan Silat Seni Gayong itu berhadapan sedikit masalah hingga memaksa ia tertangguh beberapa kali, namun hasil usaha gigih Meor Abdul Rahman yang mahu mewujudkan satu pertubuhan silat yang mampu menghimpunkan orang Melayu akhirnya PSSGM berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara pada 22 Oktober 1963.

Dengan tertubuhnya PSSGM secara rasmi itu, ia diperkemaskan struktur organisasinya dengan badan pentadbirannya dibantu oleh dua organisasi dalaman yang ditubuhkan khusus dalam mengukuhkan pengurusan pengembangan dan pembangunan Silat Seni Gayong Malaysia iaitu Lembaga Adat Istiadat dan Majlis Gurulatih.

YDP PSSGM, Adiwijaya berkata sehingga kini pertubuhan berkenaan terus menjadi wadah kepada orang Melayu yang bukan saja dalam memperkembangkan dan memelihara seni bela diri pusaka bangsa.

Menurutnya, seperti yang menjadi asas perjuangan ketika penubuhannya PSSGM oleh Meor Abdul Rahman akan terus berperanan untuk menyatukan orang Melayu melalui seni silat.

“Selain itu, pertubuhan ini juga akan terus memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani masalah gejala sosial yang melanda generasi muda ketika ini melalui aktiviti dijalankan.

“Kita mahu melahirkan generasi baru yang berjiwa kental dan sentiasa menjaga peradaban orang Melayu agar bangsa kita dapat mengharungi cabaran dunia global pada masa sekarang,” katanya.

Adiwijaya berkata, paling penting bagi pertubuhan ketika ini adalah mahu mewujudkan sebuah Wisma PSSGM yang bukan saja berperanan sebagai pusat pentadbiran kepada pertubuhan itu tetapi juga mahu dijadikan sebagai lokasi perhimpunan kepada pengamal seni silat.

Selepas penubuhannya secara rasmi kira-kira 47 tahun lalu, PSSGM sekali lagi bakal mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila akan menobatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Imam Khalifah Agung melalui penganugerahan Sandang Kebesaran, Seri Mahkota Agung Bintang Pelangi.

Penganugerahan itu akan berlangsung pada 2 Oktober ini sempena majlis Perdana Gayong dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Perdana Menteri di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Majlis berkenaan dijangkakan akan menghimpunkan lebih 3,000 ahli PSSGM juga dijangka dihadiri oleh Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Pesilat), Eddy Nalaprya dari Indonesia serta ahli gelanggang gayong luar negara antaranya dari United Kingdom, Syria, Tunisia, Singapura, Perancis dan Amerika Syarikat.

Dengan penganugerahan itu, ia menjadikan Najib sebagai individu ketiga yang menerima pengiktirafan oleh pertubuhan silat berkenaan selepas Sultan Perak, Sultan Idris Shah Ibni Sultan Alang Iskandar dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa kepada Najib.

Semangat juangnya terhadap bangsa dan negara serta daya kepemimpinan yang tinggi dimiliki Najib serta berketurunan Bugis sama seperti pengasas PSSGM, Datuk Meor Abdul Rahman Uda Mohd Hashim membuatkan Perdana Menteri dipilih sebulat suara oleh pertubuhan berkenaan mewarisi gelaran berprestij itu.

Menurut Adiwijaya, lazimnya kriteria yang dipandang dalam memilih penyandang jawatan berkenaan mestilah individu berkenaan adalah tokoh yang berjiwa silat gayung dan mampu menjadikan silat itu gah di persada antarabangsa.

Katanya, Najib dipilih kerana peranannya sebagai pemimpin Melayu yang mampu memperkasakan lagi pertubuhan berkenaan sekali gus bersama-sama pemimpin PSSGM mengangkat martabat orang Melayu sejajar dengan perjuangan asal pengasasnya sendiri.

Pihaknya yakin Najib memenuhi kriteria yang diperlukan itu dan atas dasar berkenaan PSSGM sepakat menganugerahkan Seri Mahkota Agung Bintang Pelangi membawa gelaran Imam Khalifah Agung itu.

“Pada majlis berkenaan, PSSGM juga menganugerahkan Seri Mahkota Agung Relang Pelangi yang membawa gelaran Timbalan Imam Khalifah Agung kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Pemilihan Mohamad pula dibuat kerana sumbangannya sendiri kepada PSSGM dan beliau bukan orang baru dalam pertubuhan ini, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Mohamad diperlimau oleh Meor Abdul Rahman sendiri ketika berusia tujuh tahun,” katanya.

Dalam pertubuhan itu, terdapat beberapa lagi gelaran sandang kebesaran bermula dari peringkat bawah iaitu Khalifah dan Srikandi Muda, diikuti Khalifah dan Srikandi, Khalifah Kanan, Ketua Beradat, Waris Beradat hinggalah ke Timbalan Imam Khalifah Agung dan Imam Khalifah Agung.

Tiada ulasan: