PELAJARAN GAYONG

Secara umumnya, pelajaran di dalam Silat Seni Gayong dibahagikan kepada tujuh peringkat, iaitu:  Tapak Gayong  Terdiri daripada segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga latihan senaman anak harimau, elakan dan tangkapan kunci mati (21 buah tapak kunci mati) bagi menewaskan lawan tanpa menggunakan senjata.  Seni Tapak Gayong Lanjutan daripada pelajaran Tapak Gayong. Pada peringkat ini pesilat diajar menghalusi lagi pelajaran bahagian Tapak Gayong supaya pesilat berkemampuan untuk membuat serang balas yang berkesan. Pelajaran pada peringkat ini termasuklah buah tapak kunci hidup (teknik membuka kuncian - 49 buah) di samping berkemampuan untuk mengunci semula lawan. Juga merangkumi pelajaran Pecahan Buah Tapak sebanyak (7x21) buah dan Serangan Maut/Buah Pukulan (21 buah).  Seni Keris  Pelajaran menggunakan senjata tikam seperti keris dan pisau.Mengandungi pelajaran Seni Keris (Keris Satu dan Keris Dua - 49 tikaman), Seni Pisau (Serangan Maut dan Pentas - Pisau Satu dan Pisau Dua)  Seni Simbat Pelajaran menggunakan senjata belantan dan merupakan asas kepada permainan parang panjang, kapak, tekpi, pedang, sundang lipas, dan lembing. Mengandungi pelajaran Seni Simbat/Tongkat (kunci dan permainan), Seni Simbat Suk/Cota (kunci dan permainan), Seni Tongkat Panjang/Tembung (kunci dan permainan), Seni Parang Panjang (kunci dan permainan - Parang Satu dan Parang Dua), permainan Parang Panjang dan Perisai, permainan Parang Panjang - Rantai, permainan Pisau-Simbat, Seni Tombak/Lembing (kunci dan permainan), Seni Anak Tombak (kunci dan permainan), Seni Parang-Tekpi, Seni Tombak-Tekpi.  Seni Yoi  Pelajaran tangan kosong yang dipenuhi dengan buah pukulan bagi menentang serangan ramai (21 buah pukulan).  Seni Belian Permainan tapak harimau yang dihiasi dengan amalan kebatinan. Juga dikenali sebagai Serangan Bapak Harimau.  Seni Cindai  Pelajaran yang menggunakan kain sarung dan merupakan pelajaran tertua dalam Silat Seni Gayong. Seni Cindai terbahagi kepada dua jenis permainan iaitu Cindai Jantan dan Cindai Betina.Tujuh pecahan yang terdapat dalam permainan cindai ialah: Sauk-sauk (21 buah), Tebar (21 buah), Serkap (21 buah), Kain Tudung (21 buah), Awang Bodoh (21 buah), Pukat (21 buah), dan Kalung Puteri (21 buah).  Tahap pencapaian pelatih diperlihatkan daripada bengkung yang diperoleh. Setiap bengkung yang diperoleh merupakan petunjuk kepada pencapaian jenis-jenis kemahiran.


Silibus Peringkat Sekolah




Pelajaran  Silat Seni Gayong Malaysia yang diajar ke peringkat sekolah rendah dan menengah adalah berpandukan silibus yang ditetapkan supaya kecederaan dapat diatasi misalnya pelajaran yang menggunakan senjata yang tajam tidak dibenarkan untuk latihan peringkat sekolah kecuali atas kebenaran majlis Jurulatih Negeri bagi tujuan untuk menyertai kejohanan atau persembahan.
  Tahap pelajaran PSSGM peringkat sekolah juga berteraskan disiplin yang tinggi agar dipatuhi setiap ahli. Bermotifkan adat resam melayu yang penuh kesopanan dan kesusilaan terhadap masyarakat berbilang kaum dan etnik.
  Sebarang amalan kebatinan atau kerohaniah tidak dibenarkan sama sekali  dalam silibus PSSGM peringkat sekolah.
Berteraskan pegangan ikrar dan sumpah,memadai ahli PSSGM peringkat sekolah akan terikat dengan syariat Islam misalnya taat kepada Allah,kedua ibubapa dan sentiasa menghormati guru-guru.